KUALA LUMPUR: Aktiviti lumba haram di tengah Kuala Lumpur bukan sahaja mengganggu kesucian bulan Ramadan, malah gejala ‘mat rempit’ ini mampu merosakkan imej ibu kota dan juga negara.
Pekerja swasta, Mohd Taufik, 31, berkata, dia telah beberapa kali menyaksikan aktiviti lumba haram ini sepanjang berada di Kuala Lumpur, termasuk pada bulan Ramadan.
Katanya, fenomena itu tidak hanya memberi kesan negatif kepada penduduk tempatan, malah turut mencacatkan imej negara di mata pelancong asing.
“Bagi saya, keadaan ini adalah satu bentuk pencemaran bunyi yang serius. Jika pelancong datang dan nampak keadaan begini, ia memberikan imej negatif kepada negara.
“Saya juga pernah menyaksikan kemalangan melibatkan mereka (mat rempit) ini. Ia menyusahkan kerana mengganggu kelancaran lalu lintas dan membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Taufik berkata, dia berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan lebih tegas bagi mengekang aktiviti lumba haram ini.
Pekerja Swasta, Norebi Abdul Aziz, 40, berkata, aktiviti tidak berfaedah itu telah merosakan imej Kuala Lumpur dan suasana 10 malam terakhir Ramadan.
“Ini kali pertama saya tahu ada perkara seperti ini berlaku di tengah Kuala Lumpur. Imej seperti ini sangat tidak bagus dan merosakkan reputasi bandar raya ini.
“Kebanyakan yang terlibat nampaknya anak muda Melayu, sayang sekali,” katanya.-UTUSAN.