SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyasarkan untuk mengumpul sejumlah RM1.4 juta sebelum akhir Ramadan ini bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa pelanggaran gencatan senjata oleh rejim Israel.
Malah, organisasi bukan kerajaan (NGO) itu akan mendapatkan RM100,000 daripada setiap parti politik di negara ini untuk dimasukkan ke dalam tabung sumbangan tersebut.
Dana yang dikumpul itu akan digunakan bagi membeli makanan, pakaian, selimut dan lain-lain keperluan bagi rakyat Palestin, yang kini memerlukan sokongan antarabangsa.
Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, beliau akan menghubungi setiap pemimpin parti politik untuk mendapatkan sumbangan tersebut mulai esok dan optimis akan mendapat kerjasama daripada kesemua pemimpin ini.
“Saya sudah hubungi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO) yang kini berada di Mekah untuk menunaikan umrah. Saya akan hubungi beliau sekali lagi untuk dapatkan sumbangan (RM140,000) itu,” katanya ketika ditemui di Himpunan Parti Politik Se-Malaysia bersama NGO bersolidariti untuk Gaza, Palestin, hari ini.
Selain itu, Mohd. Azmi memaklumkan Mapim akan menganjurkan perhimpunan besar-besaran pada Jumaat hadapan (28 Mac) di hadapan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH), Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan terhadap serangan terkini tentera Zionis di Gaza.
“Saya sasarkan 10,000 rakyat Malaysia akan menyertai perhimpunan ini walaupun sedar ramai yang mungkin sudah balik ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.
“Kita buat perhimpunan pada 28 Mac bersempena dengan sambutan hari Al-Quds, yang disambut pada minggu terakhir Ramadan,” ujarnya. – UTUSAN