‘Mana-mana pengamal media, ahli politik disyaki ambil rasuah, kita siasat’ - Utusan Malaysia

‘Mana-mana pengamal media, ahli politik disyaki ambil rasuah, kita siasat’

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah memilih bulu dalam menjalankan siasatan membabitkan isu rasuah terhadap mana-mana individu termasuk pengamal media atau ahli politik.

Tegas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, di bawah Akta SPRM 2009, mana-mana individu yang dikesan menerima sebarang wang suapan, ia merupakan satu kesalahan rasuah.

“Dalam kes seorang pengamal media yang ditahan itu, kami ada alasan kukuh dia terlibat kes rasuah malah wang tunai RM20,000 turut ditemukan padanya.

“Ini bukan salah laku. Tiada yang terkecuali sama ada wartawan, ahli politik atau mana-mana individu, kita (SPRM) akan siasat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Azam berkata demikian mengulas gesaan Pas supaya SPRM memberi keutamaan kepada siasatan berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan ejen pekerja asing dan pegawai imigresen di pintu masuk negara, berbanding menahan wartawan yang melaporkan isu itu.

Ditanya sama ada suspek pernah menerima wang suapan lain sebelum ditahan kelmarin, Azam memaklumkan, pihak SPRM akan menjalankan siasatan lanjut.

Bagaimanapun, tegasnya, pihaknya sentiasa menjalankan siasatan berkaitan isu kemasukan warga asing warga asing ke negara ini termasuk mana-mana dakwaan yang terpalit dengan isu rasuah dan salah laku.

“Malah sebelum ini, seramai 50 pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen yang kita ada tahan kerana terlibat dengan sindiket ‘counter setting’. Kita tidak akan berhenti siasat.. (isu warga asing).

“Bagaimanapun, dalam kes ini, dia jelas menerima rasuah sebagai balasan untuk menurunkan artikel yang dimuat naik serta tidak menulis lagi tentang sebuah agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket,” tegasnya.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, tindakan SPRM menahan wartawan portal yang membongkar isu penyeludupan pekerja asing itu janggal dan menimbulkan persoalan.

“Pas percaya adalah lebih tepat dan sesuai sekiranya SPRM mendahulukan siasatan ke atas laporan media mengenai kegiatan meragukan ini, berbanding mengambil tindakan terhadap wartawan yang hanya melaporkan dakwaan rasuah tersebut,” katanya.

Media semalam melaporkan wartawan sebuah portal direman empat hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk menurunkan artikel yang dimuat naik serta tidak menulis lagi tentang sebuah agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket.

Perintah reman selama empat hari sehingga 4 Mac ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Beveniyah R Jothi, selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Azam dilaporkan berkata, suspek lelaki ditahan 11.45 malam semalam di sebuah hotel di Shah Alam hasil aduan dan operasi dilakukan pegawai penyiasat SPRM.

“Suspek ditahan kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah, bukannya sebab laporan berita yang ditulisnya mengenai pendatang asing tanpa izin (Pati) seperti yang dilaporkan.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki meminta wang rasuah yang besar tetapi setelah berunding, suspek bersetuju menerima kira-kira RM20,000,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya