KLANG: Kerajaan Malaysia dan Vietnam memberikan komitmen bagi menyelesaikan isu eksplorasi perikanan laut dalam antara kedua-dua negara yang didakwa sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia dan Vietnam bersetuju untuk bekerjasama menyelesaikan masalah tersebut susulan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Vietnam, Jeneral Luong Cuong, baru-baru ini.
“Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang mengkaji model kerjasama antarabangsa (model eksplorasi perikanan laut dalam) seperti perjanjian yang dibuat antara Kesatuan Eropah (EU) dengan kerajaan Maghribi.
“Dengan adanya model tersebut ia diharap dapat mengurangkan isu pencerobohan nelayan Vietnam ke negara ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelinciran Operasi (Op) Khas Pagar Laut Siri 1/2025, malam tadi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan siri penahanan agensi penguatkuasaan terhadap nelayan Vietnam yang melakukan tangkapan ikan di perairan negara.
Maah, pada Oktober lalu, empat nelayan Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kelantan kerana menangkap hasil laut yang dianggarkan berjumlah satu tan metrik.
Saifuddin kemudian menegaskan agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri akan terus melakukan pemantauan di kawasan perairan negara daripada diceroboh.
Ujarnya, nelayan asing yang ditangkap akan dikenakan tindakan tegas di bawah peruntukan perundangan negara. – UTUSAN