Mahsuri Dagang, Media Mulia santuni warga UiTM, edar 1,000 pek bubur lambuk Utusan Malaysia BERITA -

Mahsuri Dagang, Media Mulia santuni warga UiTM, edar 1,000 pek bubur lambuk

Kakitangan FKPM UiTM Shah Alam bergambar bersama pada Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Mahsuri Dagang dan Media Mulia di Shah Alam, Selangor, kelmarin.– ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. (Mahsuri Dagang) dan Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia) disemarakkan lagi dan kali ini syarikat pengeluar sos itu memilih Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini untuk memberikan sumbangan berkenaan.

Bersempena program yang diadakan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) di sini kelmarin, kira-kira 1,000 pek bubur lambuk telah diedarkan kepada orang ramai khususnya warga universiti berkenaan.

Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang, Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, program itu merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh syarikat pada setiap tahun untuk menyantuni masyarakat.

Katanya, ia juga bertujuan memberi jaminan kepada pengguna bahawa produk keluaran Mahsuri Dagang adalah halal dan berkualiti tinggi.

“Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk bukan sekadar inisiatif kebajikan tetapi juga selari dengan CSR Mahsuri Dagang dalam membantu komuniti yang memerlukan.

“Ini turut memberi peluang kepada warga UiTM khususnya para pelajar untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan menerusi gotong-royong memasak dan pengagihan bubur lambuk,” katanya.

Selain itu, Mohd. Jazri berkata, keterlibatan golongan mahasiswa dalam program sebegini dapat memupuk semangat kesukarelawanan dan mengeratkan hubungan antara syarikat dengan generasi muda.

“Program ini merupakan sebahagian daripada nilai teras syarikat kami iaitu memberi manfaat kepada komuniti.

“Kami percaya dalam berkongsi rezeki dengan masyarakat. Alhamdulillah, perniagaan kami berkembang dari tahun ke tahun dan sebahagian daripada hasilnya kami salurkan kembali kepada komuniti sebagai tanda penghargaan.

“Diharapkan usaha ini bukan sahaja dapat membantu meringankan beban golongan pelajar yang kurang berkemampuan, tetapi juga meyakinkan masyarakat bahawa produk Mahsuri adalah halal, terjamin daripada segi kebersihan dan berbeza daripada yang lain,” katanya.

Kakitangan FKPM UiTM Shah Alam dan kakitangan Media Mulia menyusun bubur lambuk yang telah siap dimasak sebelum diedarkan.

Sementara itu, Dekan FKPM, Prof. Madya Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman berkata, pihaknya teruja dan berbangga kerana berpeluang bekerjasama dengan Mahsuri Dagang dan Media Mulia dalam menjayakan penajaan bubur lambuk sempena bulan Ramadan.

Katanya, program itu bukan sahaja memberi peluang kepada warga fakulti untuk mendalami seni memasak bubur lambuk, tetapi secara tidak langsung mengeratkan silaturahim antara staf, pensyarah, pelajar dan rakan industri dalam suasana penuh kemesraan dan kebersamaan.

“Selain menghidupkan tradisi memasak secara bergotong-royong, program ini turut memberi ruang kepada warga fakulti untuk mempelajari kemahiran baharu serta memperkayakan pengalaman dalam penyediaan makanan tradisional.

“Lebih daripada sekadar memasak, program ini juga mampu mewujudkan suasana kerja yang lebih harmoni dan mesra dalam kalangan warga fakulti dan rakan industri,” katanya.

Tambah Abd. Rasid, pihaknya berharap jalinan kerjasama itu dapat diteruskan dalam pelbagai bentuk kolaborasi lain pada masa hadapan bagi manfaat bersama.

“Saya ingin berterima kasih kepada Mahsuri Dagang dan Media Mulia atas kerjasama yang diberikan. Kami dari FKPM merasa bertuah dan bersyukur kerana UiTM dipilih sebagai lokasi pengagihan bubur lambuk untuk berkongsi rezeki sesama masyarakat khususnya warga universiti,” katanya.

TIMBALAN Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai pada Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk di FKPM, UiTM Shah Alam, Selangor, kelmarin.

Mengulas mengenai penyediaan bubur lambuk pula, Ketua Tukang Masak, Nor Fara Lydia Nordin berkata, bubur lambuk yang disediakan kali ini berasaskan resipi bubur lambuk Selangor dengan sentuhan khas yang membangkitkan aroma dan rasa lebih memikat.

Katanya, bahan utama yang digunakan termasuk daging, udang kering, rempah sup, santan serta beberapa ramuan lain bagi memastikan kelazatan bubur lambuk tersebut.

“Bubur lambuk kali ini dihidangkan dengan rasa yang berbeza, air rebusan daging digunakan sebagai bahan istimewa bagi memberikan rasa yang lebih berperisa dan enak.

“Selain itu, setiap sukatan bahan telah ditetapkan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah kami hasilkan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.

Tambahnya, proses penyediaan bubur lambuk berjalan lancar hasil kerjasama daripada sukarelawan yang telah dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti pemotongan, memasak dan pembungkusan.

“Pembahagian tugas ini bukan sahaja memudahkan kerja tetapi juga membantu saya sebagai ketua tukang masak untuk menyelia dan memastikan kelancaran proses memasak,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN