RAUB: Seorang lelaki ditemukan rentung apabila rumah yang didiaminya musnah terbakar dalam kejadian kebakaran di Kampung Kuala Semantan, Cheroh dekat sini tengah malam tadi.
Mangsa, Zahari Ibrahim, 50, dipercayai tinggal bersendirian di rumah berkenaan dan sedang tidur ketika kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Mohd. Razam Taja Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.42 tengah malam sebelum sepasukan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dan BBP Lipis bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki tiga jentera.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian yang terletak kira-kira 22 kilometer dari BBP Raub, komander operasi melaporkan terdapat kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal.
“Peratusan kebakaran dianggarkan 100 peratus dan kejadian turut melibatkan seorang lelaki dewasa yang ditemukan rentung dan disahkan meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Razam berkata, tindakan operasi adalah membuat kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula air tangki pam jentera bomba.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut,”ujarnya. – UTUSAN