PASIR MAS: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan 33 ekor lembu bernilai RM321,000 selepas menahan seorang lelaki yang sedang memindahkan haiwan berkenaan dari negara jiran di pangkalan haram Pos Rela di sini awal pagi tadi.
Dalam serbuan pukul 4 pagi itu beberapa lagi rakan suspek berjaya melarikan diri menggunakan bot ke negara jiran selepas menyedari kehadiran anggota PGA yang melakukan rondaan rutin melalui Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan pihaknya telah menjumpai 33 ekor lembu disyaki diseludup dari Thailand.
Katanya, lembu-lembu tersebut dipercayai dibawa masuk untuk dijual di pasaran tempatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Kesemua barangan rampasan dan suspek di bawa ke Balai Polis Bakong untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, PGA Am akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.-UTUSAN