Lebih 1,200 orang meriahkan Iftar Jamaie Perdana Masjid Imam Ash-Shafie Kotasas - Utusan Malaysia

Lebih 1,200 orang meriahkan Iftar Jamaie Perdana Masjid Imam Ash-Shafie Kotasas

SEBAHAGIAN penduduk yang menyertai Iftar Jamaie Perdana Masjid Imam Ash-Shafie, Kotasas di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Lebih 1,200 penduduk hadir memeriahkan program Iftar Perdana di Masjid Imam Ash-Shafie, Kotasas di sini.

Pada program itu, penduduk berbuka puasa dengan makanan dalam dulang dan mengikut kelompok ahli keluarga masing-masing.

Selain berbuka puasa di bawah konsep ‘Iftar Bersama Keluarga dan Kejiranan’, pengurusan masjid berkenaan turut menyampaikan duit raya kepada kira-kira 300 kanak-kanak.

Pengerusi masjid, Izudin Muhamad Amin berkata, penduduk yang menyertai iftar perdana itu melibatkan 17 kejiranan di Kotasas.

Jelasnya, program itu bagi memupuk persefahaman dan kerjasama antara penduduk dalam setiap program dengan menjadikan Masjid  Imam Ash-Shafie sebagai pusat kesatuan.

“Bermula awal  Ramadan lagi, kita memang ada iftar yang disertai kira-kira 500 orang setiap hari tetapi kali ini kita adakan yang lebih besar dengan penyertaan kira-kira 1,200 orang.

“Setiap keluarga penduduk Kotasas akan membawa ahli keluarga masing-masing bagi merapatkan  kerjasama selain dapat mengenali antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui pada program itu di sini yang turut dihadiri oleh Penasihat Masjid Imam Ash-Shafie, Tengku Datuk Seri Uzir  Tengku Ubaidillah.

PENGURUSAN Masjid Imam Ash-Shafie Kotasas (MIASK) termasuk sukarelawan Briged MIASK Cakna yang menjayakan program Iftar Jamaie Perdana di Kotasas, Kuantan, Pahang.

Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Zainul, 30, yang datang bersama isteri serta dua anaknya berkata, program berkenaan sesuatu yang begitu bermakna serta memberi impak besar.

“Ketika inilah kita semua dapat berkenalan antara satu sama lain kerana kawasan kejiranan Kotasas ini luas hingga kita jarang bertemu. Apabila ada program seperti ini ia memberikan manfaat besar kepada semangat kejiranan. Amat penting  terutama bagi anak-anak untuk mendapat kawan-kawan baharu semasa  program ini,” katanya yang bekerja sebagai jurutera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN