KOTA BHARU: Polis Kelantan menanggarkan lebih 1 juta kenderaan perantau sudah memasuki negeri ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, semua kenderaan itu masuk melalui tiga pintu utama iaitu Jeli, Pasir Puteh dan Gua Musang.
Menurutnya, bagi melancarkan aliran trafik seramai 128 pegawai dan anggota akan ditugaskan selama 24 jam di lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘blackspot’ dan ‘hotspot’ kemalangan di seluruh negeri.
“Sebanyak 66 kawasan ‘blackspot’ dan 42 ‘hotspot’ kerap berlaku kemalangan dan kesesakan jalan telah dikenal pasti.
“Kawasan tersebut ialah Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dan Jalan Gua Musang-Jeli,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni petugas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Persimpangan Lampu Isyarat Jalan Wakaf Siku di sini petang tadi.
Mohd. Yusoff memberitahu, pada masa sama anggota yang bertugas menerusi skuad khas akan melakukan rondaan menggunakan motosikal sepanjang musim perayaan ini untuk memastikan kelancaran aliran trafik.
Katanya, pegawai dan anggota itu akan bertugas di seluruh negeri bermula waktu pagi sehingga pukul 10 malam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan,
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menganggarkan sebanyak 2 juta kenderaan akan masuk ke negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Pengarahnya Mohd. Misuari Abdullah berkata, ia berpandukan kepada statistik yang telah direkodkan pada tahun-tahun sebelum ini.-UTUSAN