RANTAU PANJANG: Cubaan empat penyeludup untuk membawa masuk dadah jenis ganja seberat 16.6 kilogram (kg) ke negara ini gagal apabila mereka lari meninggalkan bahan terlarang itu di dua kawasan pangkalan haram di sini kelmarin dan Khamis lalu.
Rampasan ganja bernilai RM59,460 itu dilakukan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas menjumpai barangan tersebut yang ditinggalkan di kedua-dua pangkalan haram tersebut semasa melakukan rondaan rutin menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, rampasan pertama di pangkalan haram Bagus di sini melibatkan ketulan ganja mampat seberat 11.6 kg pada Khamis.
Menurutnya, semasa melakukan rondaan anggota bertugas telah mengesan seorang lelaki sedang memikul barang di kawasan tersebut.
“Menyedari kehadiran anggota PGA, lelaki itu bertindak melarikan diri dan
Pemeriksaan di kawasan semak di pangkalan haram itu menjumpai satu bungkusan berisi dadah seberat 11.6 kg yang dianggarkan bernilai RM35,960.
“Siasatan awal mendapati, kesemua dadah itu dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, rampasan dadah kedua pukul 8.15 pagi kelmarin dilakukan di kawasan pangkalan haram Keri di sini selepas anggota PGA mengesan tiga orang lelaki bersama sebuah motosikal nombor pendaftaran Thailand berada dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, menyedari kehadiran anggota PGA ketiga-tiga lelaki itu terus bertindak melarikan diri.
“Pemeriksaan di bawah tempat duduk motosikal yang ditinggalkan di kawasan tersebut menjumpai tiga bungkusan berisi 5 kg dadah jenis ganja. Dadah yang dianggarkan bernilai RM23,500 itu disyaki untuk dijual ke pasaran tempatan.
“Kesemua dadah seberat 16.6 kg yang dirampas dalam kedua-dua serbuan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.-UTUSAN