Lagi insiden tayar lori pecah, lima maut menjelang Aidilfitri

Lagi insiden tayar lori pecah, lima maut menjelang Aidilfitri

KEADAAN kereta Honda Stepwagon Spada yang dinaiki tiga beranak yang terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 58.1 Lebuhraya Utara Selatan (Arah Selatan) dekat Kluang, Johor malam semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kemalangan maut akibat tayar lori pecah berulang lagi dan kali ini meragut lima nyawa dalam nahas membabitkan empat buah kenderaan termasuk sebuah lori kontena di Kilometer 58.1 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) dekat sini malam semalam.

Lebih memilukan, antara yang maut termasuklah tiga se­keluarga iaitu pasangan suami isteri dan anak bongsu mereka yang dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri dari Kuala Lumpur ke Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.30 malam itu ketika lori kontena jenis Volvo yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori itu dikatakan pecah menyebabkannya hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah kereta Toyota Camry yang dalam arah perjalanan sama.

“Akibat hilang kawalan, lori kontena itu telah terbabas dan menyeberang ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah kereta Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada.

“Pelanggaran itu turut menyebabkan berlaku kebakaran ke atas kereta Honda Stepwagon Spada, bagaimanapun semua mangsa sempat dikeluarkan pengguna jalan yang kebetulan berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Bahrin, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian adalah pemandu dan penumpang Proton X50, dikenali sebagai Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, dan seorang lelaki berumur 20-an.

Pemandu serta penumpang hadapan Honda Stepwagon Spada iaitu pasangan suami isteri, Nasaarudin Pardi, 36, dan Siti Khazira Bani, 35, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. Anak bongsu pasangan itu, Mariam Nasarudin, 2, juga meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu lori kontena ditahan reman sehari untuk siasatan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, kakak kepada Siti Khazira, iaitu Nur Hafiza Bani, 36, berkata, rasa bimbang apabila adiknya tidak membalas mesej WhatsApp seperti petanda kejadian buruk menimpa adiknya.

Dia berkata, dalam kejadian adiknya dan keluarga dalam perjalanan balik ke rumah orang tuanya di Tama Kota Jaya, Kota Tinggi.

Katanya, adiknya sekeluarga bertolak pulang untuk bercuti raya dari rumah mereka di Bukit Jalil, Kuala Lumpur kira-kira pukul 9 lebih selepas solat Isyak.

“Dia bertolak lepas solat Isyak. Semalam (kelmarin) kira-kira pukul 11.30 malam adik lelaki ada tanya jam (kesesakan jalan raya) ke? Tetapi dia tidak balas, itu kami sangkakan dia lambat sebab sangkut jam.

“Namun dia tidak pernah tidak balas mesej kami. Dia juga seorang yang tidak akan tidur dan akan teman suaminya sepanjang pemanduan dan tidak pernah kehabisan bateri telefon jika hendak berjalan jauh.

“Masa itu memang rasa tidak sedap hati tetapi tidak terfikir mereka terlibat kemalangan. Kira-kira pukul 3 pagi ada orang telefon maklumkan mereka terlibat kemalangan di mana barang-barangnya semua total lost termasuklah telefon bimbit,” katanya ketika ditemui.

Anak sulung dari tiga beradik itu berkata, mereka sepatutnya melakukan aktiviti bergambar sekeluarga pada pukul 10 pagi semalam namun tidak kesampaian.

“Kami sekeluarga rancang untuk ambil gambar raya sekeluarga pada pagi ini dan berbuka puasa bersama-sama.

“Biasanya kami semua akan beraya di rumah emak dahulu, petang raya barulah adik akan ke rumah sebelah suaminya yang terletak di taman perumahan yang sama,” katanya.

Menurut Nur Hafiza, dua orang lagi anak pasangan suami isteri tersebut iaitu Tuah Isqandar, 9, dan Teja Sumayyah, 4, masih dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, di sini namun dalam keadaan stabil.

“Manakala seorang lagi anak mereka, Jebat Esmael telah dibenarkan pulang,” katanya.

Jenazah tiga beranak tersebut dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam, Kota Tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya