KUALA LUMPUR: Jumlah sisa pepejal yang dijana sepanjang Ramadan sentiasa menunjukkan peningkatan termasuk sebanyak 55,045.15 tan yang dicatatkan pada tahun lalu di ibu negara.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif berkata, sehubungan itum beberapa kempen telah dilaksanakan sebagai langkah mengawal pembaziran makanan terutama dalam bulan Ramadan.
Beliau berkata, kempen itu merupakan sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Kuala Lumpur ke Arah Sifar Sisa 2040, dengan sasaran mengurangkan 60 peratus sisa ke tapak pelupusan.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berharap dapat mengurangkan kadar pembaziran dan memastikan Kuala Lumpur terus berkembang sebagai bandar raya yang lestari dan mampan.
“Melalui kempen ini, kami berharap pembaziran makanan, minyak masak dan plastik dapat dikurangkan serta menggalakkan peniaga dan rakyat menggunakan produk biodegradasi yang lebih mesra alam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2025, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Selain itu, Maimunah berkata, bazar bagi tahun ini turut memperkenalkan Kempen Sifar Sisa, bagi mengurangkan pembaziran makanan dan sisa buangan.
Katanya, hasil pemantauan setakat ini menunjukkan tahap pematuhan peniaga berada pada tahap baik.
“Peniaga memberikan maklum balas yang positif kerana kadar sewa yang lebih rendah serta peluang mendapatkan semula wang cagaran jika mematuhi peraturan.
“Pemantauan juga lebih mudah kerana adanya keseragaman dalam penampilan peniaga, membolehkan tindakan segera diambil jika terdapat ketidakpatuhan,” katanya.-UTUSAN.