KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) menagih kerjasama semua pihak dalam usaha membendung penjualan gula-gula berbentuk vape di luar kawasan sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kerjasama pengetua dan guru besar sekolah dengan pihak berkuasa tempatan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) amat diperlukan bagi memastikan makanan yang memudaratkan itu tidak diperoleh dengan mudah.
“Ini adalah kerja keras bersama, jadi kita (KPM) ambil penuh tanggungjawab itu. Saya memberi jaminan bahawa tiada makanan yang membahayakan dijual kepada anak-anak di dalam sekolah.
“Kita tidak mahu anak-anak (murid dan pelajar) berdepan sebarang isu berkait dengan makanan tidak sihat dan berbahaya,” katanya kepad pemberita selepas merasmikan program Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan (KPM) 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memberi amaran mengenai kemunculan gula-gula berbentuk peranti vape dan rokok yang kini membanjiri pasaran tempatan.
Pegawai Pendidikan CAP, N. V. Subbarow berkata, trend itu semakin membimbangkan kerana produk berkenaan menyerupai alat vape dan rokok sebenar serta berupaya menarik perhatian kanak-kanak melalui rekaan pelbagai warna.
“Apabila kanak-kanak melihat produk ini di kedai, mereka akan meminta ibu bapa untuk membeli tanpa menyedari bahaya di sebaliknya.
“Sekali mereka tertarik, mereka akan terus meminta untuk mendapatkan gula-gula ini berulang kali,” katanya.-UTUSAN