Kosma catat pendapatan ladang RM224.88 juta tahun lalu, tertinggi dalam 57 tahun - Utusan Malaysia

Kosma catat pendapatan ladang RM224.88 juta tahun lalu, tertinggi dalam 57 tahun

WAN ROSDY Wan Ismail (empat dari kiri) menyatakan sesuatu kepada Pengerusi Kosma, Datuk Zamri Mohamad (empat dari kanan) pada majlis pengumuman dividen Kosma di Pejabat Menteri Besar, Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) mencatatkan pendapatan ladang berjumlah RM224.88 juta tahun lalu dengan keuntungan bersih RM134.17 juta.

Ia merupakan jumlah pendapatan tertinggi diperoleh koperasi berkenaan dalam tempoh 57 tahun sejak ditubuhkan pada 1967.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ekoran prestasi kewangan yang kukuh, dividen unit ladang Kosma pada tahun ini ditingkatkan kepada RM5,000 bagi setiap unit ladang berbanding RM4,500 pada tahun lalu.

“Setiap anggota yang layak akan dibayar interim untuk satu unit ladang bermula hari ini bagi membantu anggota membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri hujung bulan ini.

“Manakala baki bayaran akan dibuat semasa Mesyuarat Agung Tahunan Kosma kali ke-40 pada 21 Jun nanti,” katanya pada majlis pengumuman dividen Kosma di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, jumlah unit ladang Kosma pada ketika ini sebanyak 12,638 unit dan kos keseluruhan yang terlibat bagi pemberian dividen kali ini berjumlah RM63.19 juta.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor ekonomi serta kesejahteraan anggota koperasi berkenaan yang kini berjumlah 1,456 orang.

“Saya yakin peningkatan kadar dividen ini akan memberi manfaat besar kepada anggota dan menyumbang pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kerajaan negeri akan terus menyokong dan memperkasakan sektor koperasi demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN