Korban kerjaya guru MRSM demi bina musolla, maahad tahfiz - Utusan Malaysia

Korban kerjaya guru MRSM demi bina musolla, maahad tahfiz

MUSOLLA Ar-RAUDHAH bernilai RM6.5 juta yang berjaya direalisasikan Mohd. Azly Abdullah selepas berhenti MRSM di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang bekas guru sanggup berkorban dengan melepaskan jawatan Timbalan Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Shafie Lipis demi merealisasikan impiannya membina sebuah musolla bernilai RM6.5 juta di Jalan Pelindung Perdana Beserah di sini.

Musolla Ar-Raudhah yang dibina hasil usahanya termasuk mengumpul dana orang ramai itu kini boleh memuatkan 1,500 jemaah dengan konsep pembinaan holistik iaitu moden dan tradisional.

Mohd. Azly Abdullah, 51, yang juga merupakan panel penggubal MRSM Ulul Albab berkata, dia pada mulanya tidak pernah menyangka akan berhenti awal selepas berkhidmat selama 21 tahun dengan MRSM dan berjaya menggapai impiannya membina sebuah musolla.

Katanya, dia yang berulang alik dari rumahnya di Kuantan ke MRSM Lipis membuat keputusan itu dua tahun lalu selepas melakukan solat istikharah bagi menggapai impiannya melakukan sesuatu yang berharga dalam hidupnya serta tidak maju berjauhan dengan keluarga.

“Jadi saya istikharah, Allah SWT tunjukkan jalan dan saya ambil cuti dulu setahun, lepas itu saya saya solat istikharah lagi sama ada hendak terus bekerja atau pencen dan akhirnya Allah tunjukkan jalan saya pencen.

“Apabila sudah begitu saya rasa tidak ralat, tidak rasa ragu-ragu kecewa dengan apa yang diputuskan, walaupun ada pengalaman mengajar di sekolah yang berprestij dengan jawatan terakhir timbalan pengetua,” katanya yang turut kehilangan pendapatan bulanan lebih RM8,000 pada masa itu.

MOHD. AZLY ABDULLAH

Tambah Mohd. Azly, selepas berjaya merealisasikan pembinaan musolla yang turut menyediakan kelas aliran rendah pengajaran al-Quran dan hadis, dia kini dalam proses membuka sebuah maahad tahfiz aliran menengah.

Katanya, dia sudah pun berjaya mendapatkan tanah kira-kira 0.809371 hektar berhampiran musolla berkenaan untuk dibangunkan maahad tahfiz yang berkonsepkan sains, tahfiz dan turath.

“Pembinaan maahad tahfiz itu dijangka dimulakan pada bulan hadapan yang melibatkan kos kira-kira RM30 juta termasuk membina asrama dan kemudahan lengkap dan terkini.

“Maahad ini akan menjadi pusat sehenti. menggabungkan kokurikulum, kurikulum arus perdana, kurikulum tahfiz dan diperkemaskan dengan pendidikan turath (tradisional) yang menekankan aspek kefahaman kitab-kitab klasik.

“Strategi serampang tiga ini diharap menjadi pemangkin bagi melahirkan pelajar yang berdaya saing dalam pasaran pekerjaan serta memiliki ketahanan mandiri dalam mendepani cabaran hari ini.

“Saya percaya anak-anak yang pintar dalam akademik di tambah dengan ilmu pengetahuan al-Quran pasti mempunyai nilai tambah berbanding pelajar biasa terutamanya daripada segi nilai sahsiah diri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN