Konda kondi cenderahati rasmi sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 - Utusan Malaysia

Konda kondi cenderahati rasmi sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025

AB Rauf Yusoh menyampaikan cenderahati berupa konda kondi kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing pada Program Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Melaka 2025 hari ini.-UTUSAN/AMRAN ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Permainan tradisional warisan negeri Melaka, konda kondi bakal diangkat sebagai cenderamata rasmi sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) serta Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC2025) yang berlangsung pada September tahun ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pemilihan permainan tradisional tersebut bertujuan memperkenalkan warisan budaya Melaka kepada dunia selain menggalakkan minat masyarakat terhadap permainan rakyat yang semakin dilupakan.

“Melaka akan menjadi tuan rumah kepada sambutan tersebut yang akan dihadiri seramai 155 delegasi seluruh dunia terdiri daripada menteri pelancongan negara masing-masing. 

“Permainan ini akan mencerminkan identiti budaya serta sejarah negeri ini. Mengangkatnya sebagai cenderamata rasmi, kita berharap ia dapat menjadi simbol warisan Melaka di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Melaka 2025 di sini hari ini. 

Sementara itu, beliau berkata, sesi libat urus yang dijalankan tersebut ibarat jambatan yang menghubungkan aspirasi kerajaan negeri dan penggiat industri pelancongan dalam memperkukuh jalinan strategik terhadap sektor pelancongan negeri.

Ia ujar beliau sekali gus akan membawa ke arah kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kejayaan penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 telah menyaksikan Melaka mencatatkan kemasukan seramai 15.032 juta pelancong, dengan peningkatan sebanyak 6.4 juta pelancong atau 74.21 peratus berbanding tahun 2023 sekali gus telah menjana hasil pendapatan pelancongan sebanyak RM12.68 bilion. 

“Pada tahun ini pula, kami menyasarkan kehadiran 16.5 juta pelancong dengan sasaran hasil pelancongan negeri berjumlah RM17.973 bilion. 

“Sehubungan itu, kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk meneruskan inisiatif Tahun Melawat Melaka sehingga tahun 2026 bagi memastikan momentum pertumbuhan sektor pelancongan ini terus diperkukuhkan,” katanya. –UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya