PETALING JAYA: Tindakan pihak tertentu dalam kerajaan yang masih menggunakan bahasa Inggeris dalam program yang dianjurkan mereka telah mengundang rasa kurang hormat agensi swasta dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu di negara ini.
Pakar bahasa, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, tindakan segelintir pihak dalam kerajaan itu juga jelas melanggar pekeliling pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam yang pernah dikeluarkan lebih empat tahun lalu.
Katanya, tindakan tersebut sekali gus menunjukkan kegagalan kerajaan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.
“Sebagai contoh penganjuran program ‘Info on Wheels’ (IOW) yang dianjurkan Jabatan Penerangan, mengapa tidak gunakan ‘Maklumat Bergerak’. Apa pentingnya untuk digunakan Bahasa Inggeris walhal ia ditujukan untuk rakyat Malaysia?
“Kalau pekeliling ini pun tidak dipatuhi adakah kita mengharapkan orang lain ikut (usaha memartabatkan Bahasa Melayu) ?” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr. Hazami Jahari menegur sikap segelintir penjawat awam yang lebih cenderung menggunakan Bahasa Inggeris dalam program yang dianjurkan.
Katanya, mereka yang tidak menghormati bahasa kebangsaan itu sebagai pihak yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Kok Seong berkata, DBP perlu diberikan lebih banyak kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan bahasa Kebangsaan supaya tidak berlaku pertindihan dengan pihak lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut Kok Seong, kali terakhir Akta DBP 1959 dipinda adalah pada 1995 yang mana hampir 30 tahun ia tidak dikemas kini dan diperkemaskan berdasarkan isu semasa.
“Kuasa ini membolehkan DBP mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba menolak atau merosakkan bahasa Melayu dalam urusan rasmi atau komunikasi awam,” jelasnya.-UTUSAN.