KUANTAN: Kerajaan negeri meminta Sekretariat Perantau Anak Pahang meneliti dan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada penjaja belon yang didakwa dikasari petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa penjaja dikenali sebagai ‘Abang Belon’ yang terlibat dalam insiden itu merupakan anak kelahiran negeri ini.
“Saya ambil maklum individu yang terlibat dalam insiden melibatkan penjaja belon dan penguatkuasa DBKL baru-baru ini merupakan anak kelahiran negeri Pahang.
“Justeru saya meminta Sekretariat Perantau Anak Pahang bagi melihat dan memberi bantuan yang sewajarnya sesuai dengan keperluan individu terbabit,” katanya di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, beliau difahamkan kedua-dua belah pihak sudah membuat laporan polis berkaitan insiden berkenaan.
“Saya difahamkan kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis, adalah wajar tindakan seterusnya bergantung kepada laporan daripada pihak berkuasa,” ujarnya.
Beliau turut menekankan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar penjaja dan pihak berkuasa tempatan memahami tanggungjawab masing-masing bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang pada masa hadapan.
“Semoga kehadiran Syawal yang sedang kita nantikan membawa kejernihan kepada semua pihak berkenaan isu ini,” katanya.
Terdahulu, UMNO Bahagian Jerantut mewakili Menteri Besar bagi menyampaikan sumbangan peribadi kepada ‘Abang Belon’ yang sedang dirawat di Hospital Serdang, Selangor. – UTUSAN