Kerajaan negeri nilai kerosakan rumah akibat puting beliung

Kerajaan negeri nilai kerosakan rumah akibat puting beliung

Puting beliung Sekinchan
SEBANYAK 20 rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung akibat puting beliung yang melanda Taman Ria, Sekinchan, di Sabak Bernam, Selangor pada Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri dalam proses menilai bagi mengenal pasti kos kerosakan rumah-rumah penduduk yang rosak akibat dibadai ribut atau puting beliung di Sekinchan.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, penilaian tersebut dilakukan sebelum jumlah kerosakan sebenar dikenal pasti untuk menentukan jumlah peruntukan bantuan kepada mangsa.

Menurutnya, keutamaan akan diberikan kepada mangsa-mangsa yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), namun mereka yang tidak tinggal di sana boleh membuat permohonan melalui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

“Mangsa boleh memohon melalui PDT di bawah Unit Pengurusan Bencana, jadi untuk mangsa yang terjejas.. kita akan beri keutamaan kepada mereka yang tinggal di PPS sebab di situ adalah tempat kita mengumpulkan makumat.

“Jadi, mereka yang sudah mendaftar di PPS, insya-Allah PDT akan susuli dengan bantuan khusus nanti,” katanya ketika ditemui pemberita, malam tadi.

Jelasnya, kesemua mangsa dinasihatkan untuk tinggal di PPS bagi memudahkan pengumpulan maklumat bagi menghulurkan bantuan selain memastikan keselamatan mereka terjaga.

“Jadi, proses baik pulih sedang kita laksanakan, cuma kita belum boleh tentukan bila mereka boleh keluar dari PPS, sebab cuaca sekarang pun tak menentu, kita sedang memantau situasi cuaca sekarang,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, 20 rumah dekat Taman Ria, Sekinchan mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan lain-lain akibat dibadai puting beliung pada Selasa lalu.

Bencana alam itu merupakan tragedi kedua dalam tempoh lima hari apabila yang pertama melanda Kampung Parit 4, Sekinchan pada 6 Mac lalu dan mengakibatkan lapan rumah mengalami kerosakan serupa.

Mohd. Najwan yang juga Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan memaklumkan, susulan bencana tersebut, bantuan awal sudah pun diserahkan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) kepada mangsa.

“Cuma sekarang dalam proses untuk kita baik pulih rumah-rumah yang terjejas. Baru-baru ini pun MBI ada turunkan peruntukan awal untuk melakukan kerja baik pulih.

“Sekarang MBI sudah keluar peruntukan di pihak kerajaan negeri pun kita sedang teliti kos baik pulih. Sebab kita kena nilai kerosakan dahulu, selepas kita dapat daripada PDT nanti, kita akan turunkan peruntukan untuk baik pulih,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya