JOHOR BAHRU: Seorang mangsa banjir, Hairul Azim Jasmin, 21, terkilan apabila kelengkapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi seperti baju, langsir dan televisyen rosak ditenggelami banjir.
Dia yang tinggal di Kampung Pasir Tebrau, di sini menganggap banjir dihadapi kali ini lebih mencabar dan memberi kesan kepada penduduk kerana mereka sedang berpuasa dan bakal menyambut Aidilfitri.
Menurutnya, hujan lebat yang berlarutan sejak kelmarin menjejaskan 54 buah rumah di kampung itu yang melibatkan 105 keluarga, termasuk warga emas dan kanak-kanak.
“Keadaan semakin buruk apabila paras air meningkat pagi tadi (semalam) dan mula menenggelamkan rumah penduduk.
“Waktu malam keadaan sudah teruk tetapi pagi tadi sempat surut namun hujan lagi dan air naik semula dan kami hanya sempat selamatkan dokumen penting sahaja,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Hairul Azim dan keluarganya ditempatkan di pusat pemindahan sementara PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara di sini sejak malam kelmarin.
Katanya, kebiasaannya kalau kampung lain berlaku banjir namun kampung mereka masih tidak terjejas.
“Tetapi kali ini air naik mendadak mungkin sebab sungai makin cetek dan tiada pembinaan tebing,” katanya lagi.
Seorang suri rumah, Zaleha Bachok, 52, pula berkata, air mula naik pagi semalam selepas hujan sepanjang malam kelmarin dan rumahnya yang terletak di kawasan tinggi turut dinaiki air.
“Depan rumah air sudah naik paras pinggang dan saya terpaksa pindah pagi tadi. Malam tadi pun kami berbuka puasa di luar sebab PPS belum dibuka.
“Sepanjang 29 tahun tinggal di sini, ini banjir yang paling teruk pernah terjadi, tapi apa boleh buat, kami reda,” katanya.
Lebih 2,500 mangsa banjir daripada 707 buah keluarga telah dipindahkan ke PPS yang dibuka di lima daerah terjejas iaitu Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kota Tinggi dan Kluang.
Sementara itu, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir bagi mengurangkan risiko banjir.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek terbabit harus segera dilaksanakan bagi memastikan risiko banjir berulang yang sering melanda negeri ini dapat dikurangkan.
“Saya akan memastikan segala usaha yang dirancang dilaksanakan dengan segera demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat Johor,” katanya selepas melawat PPS SK Bukit Mutiara, di sini.-UTUSAN.