KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menjalinkan kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi membangunkan kaedah untuk mengesan pengambilan ‘magic mushroom’ melalui rokok elektronik atau ‘vape’ dalam kalangan pelajar di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, sebanyak RM30,000 telah disalurkan kerajaan negeri kepada USM melalui Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kelantan pada tahun lalu.
Menurutnya, kajian yang mengambil masa selama dua tahun itu akan dimulakan oleh sekumpulan penyelidik dari USM Kampus Kesihatan Kubang Kerian,
“Sebenarnya dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Anti Dadah Negeri Kelantan, tahun lepas, pihak USM telah membentangkan satu kertas cadangan untuk membuat kajian bagi mencari kaedah mengesan ‘magic mushroom’.
“Kajian itu bertujuan mengenal pasti kesan kimia yang terhasil dalam badan individu selepas mereka mengambil magic mushroom sekali gus membolehkan satu kaedah ujian lebih tepat dibangunkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Pemadam Kelantan bersama 60 Jabatan Kerajaan, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.
Zamakhshari yang juga Pengerusi Pemadam Kelantan memberitahu, magic mushroom tidak dapat dikesan menggunakan kaedah sedia ada sekali gus menjadikan kajian tersebut amat penting.
Katanya, ia bagi memastikan pihak berkuasa mempunyai alat yang efektif bagi mengesan dadah tersebut.
“Penyalahgunaan magic mushroom dalam kalangan golongan muda semakin membimbangkan dan agak sukar dibendung apabila pengedaran serta jual beli berlangsung secara dalam talian.
“Kita dimaklumkan bahawa pengedaran dan jual beli ‘magic mushroom’ berjalan secara dalam talian. Jadi pengesanan, pencegahan dan tindakan terhadap kegiatan ini sememangnya berada dalam bidang kuasa penuh pihak berkuasa di peringkat persekutuan,” ujarnya.-UTUSAN