PETALING JAYA: Kelab Golf Tasik Puteri bersama Sri Nona Foods Sdn. Bhd. (SNF) dan ahli kumpulan Fraser & Neave (F&N) Holdings Bhd. meraikan 51 anak yatim dari Persatuan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur dalam satu majlis berbuka puasa kelmarin.
Majlis ini merupakan sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam memupuk semangat kebersamaan serta berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan.
Menurut Pengurus Besar Kelab Golf Tasik Puteri, Nor Afendi Mohd. Razlan, inisiatif ini penting dalam mengeratkan hubungan dengan masyarakat.
Katanya, selain menikmati juadah berbuka puasa, anak-anak yatim juga menerima duit raya serta beg cenderahati awal Syawal yang disumbangkan oleh wakil SNF, Norazrin Norsyam Yee dan Chai Li Ying.
“Dengan sumbangan ini, diharapkan anak-anak dapat menyambut Hari Raya dengan lebih gembira dan bermakna.
“Kami percaya penganjuran majlis seperti ini bukan sahaja membantu memenuhi tanggungjawab sosial tetapi memberi peluang kepada kami untuk berbakti kepada masyarakat yang sentiasa menyokong kami,” katanya dalam kenyataan.
Nor Afendi berkata, pihaknya berharap dapat terus terlibat dalam program CSR dan merancang untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti kebajikan pada masa hadapan bagi memupuk hubungan erat antara kelab dan komuniti setempat.
Majlis itu turut diserikan dengan persembahan ghazal oleh kumpulan Nitrusandra serta kehadiran tetamu kehormat termasuk wakil media, personaliti media sosial terkemuka dan para pemain golf. – UTUSAN