KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar penduduk sekitar kawasan kebakaran ladang kelapa belakang Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) Gebeng di sini menghentikan seketika menjalani kegiatan luar.
Pengelola Bijaya Diraja Utama, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, baginda menzahirkan kebimbangan dengan pencemaran udara di kawasan Balok Baru dan sekitarnya.
“Baginda berharap semua penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dan sekitarnya terutama mereka yang mempunyai masalah pernafasan lebih berhati-hati agar tidak menerima kesan langsung akibat pencemaran udara.
“Kegiatan luar juga perlu dihentikan buat masa ini bagi mengelak dijangkiti sebarang masalah kesihatan termasuk aktiviti melibatkan pelajar sekolah di kawasan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Mohamed Zahari berkata, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka terutama ketika musim cuaca panas dan berangin ketika ini.
Mengikut rekod, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) kategori sangat tidak sihat iaitu 251 dicatatkan setakat 2 petang semalam dan dijangka semakin meningkat susulan kebakaran ladang kelapa berhampiran Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular.
Akhbar melaporkan, kebakaran ladang kelapa di belakang MCKIP Gebeng di sini sejak 22 Februari lalu merebak dengan kawasan terbakar meningkat kepada 75.67 hektar sehingga semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Razam Taja Rahim dilaporkan berkata, kebakaran kembali merebak pada Ahad akibat tiupan angin kencang.
Katanya, daripada keseluruhan kawasan terbakar, 66.77 hektar berjaya dipadamkan manakala usaha memadam baki kawasan terbakar seluas kira-kira 8.9 hektar masih diteruskan. – UTUSAN