BACHOK: Seorang kanak-kanak lelaki terselamat daripada lemas selepas terjatuh ke dalam perigi sedalam 0.5 meter selama 10 minit di rumahnya di Kampung Seneng di sini semalam.
Bagaimanapun mangsa, Shahrul Nizam Majuddin, 8, berjaya diselamatkan oleh jirannya, Mohd. Rozi Jusoh, 46, sebaik dimaklumkan ibu kanak-kanak berkenaan dalam kejadian pada pukul 11.40 pagi.
Jiran mangsa, Nursuria Jusoh, 37, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas ibu kanak-kanak tersebut datang ke rumahnya dalam keadaan cemas sebelum memaklumkan Shahrul Nizam terjatuh ke dalam perigi yang terletak di ruang dapur.
Menurutnya, ibu mangsa ketika itu berada di luar rumah terdengar bunyi dentuman sebelum mendapati kanak-kanak berkenaan sudah berada di dalam perigi yang ditutup dengan kayu.
“Saya bersama suami dan abang bergegas ke rumah mereka untuk menyelamat Shahrul Nizam yang ketika itu dilihat berada dalam keadaan berdiri dengan air berada di paras dada sambil memanggil ibunya.
“Shahrul Nizam berjaya dibawa keluar dengan menggunakan tangga kira-kira 10 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nursuria memberitahu, kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kelihatan tergamam kerana terkejut dengan kejadian menimpanya.
Katanya, difahamkan, Shahrul Nizam memanjat perigi itu dengan kerusi sebelum terjatuh.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat, Lokman Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.50 pagi, bagaimanapun kanak-kanak itu sudah diselamatkan oleh jirannya terlebih dahulu.-UTUSAN