LANGKAWI: Kanak-kanak lelaki yang parah di kepala akibat diserang dan digigit sekumpulan anjing masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini.
Keadaan mangsa, Ahmad Raihan Abdul Mukmin, 4, juga dilaporkan semakin baik selepas menjalani rawatan di hospital itu sejak semalam.
Ibunya, Nur Solehah Mat Hahir, 25, berkata, bahagian kepala anaknya yang terkoyak digigit sekumpulan anjing terbabit masih berbalut.
“Dia boleh berbual seperti biasa walaupun nampak seperti trauma sedikit dengan kejadian semalam. Namun keadaannya lebih baik hari ini berbanding semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menceritakan kejadian itu, Nur Solehah berkata, kejadian berlaku ketika Ahmad Raihan sedang bermain berhampiran rumah mereka di Kampung Dede, Sungai Menghulu.
“Ketika kejadian saya tiada di rumah dan hanya mendapat makluman mengenai kejadian anak saya digigit anjing selepas diberitahu oleh seorang jiran, disusuli panggilan telefon oleh ibu saya.
“Sejurus kejadian itu anak saya dibantu orang ramai dan dihantar ke HSM menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk menerima rawatan. Selain luka di kepala, beberapa kesan gigitan anjing turut terdapat di badan dan kakinya,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki cedera parah selepas dipercayai diserang sekumpulan anjing dalam kejadian di Kampung Dede, Sungai Menghulu, di sini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi berhampiran rumah mangsa.