Juruteknik agensi kerajaan didenda RM2,100 gagal jelaskan wang RM7,600 dalam akaun - Utusan Malaysia

Juruteknik agensi kerajaan didenda RM2,100 gagal jelaskan wang RM7,600 dalam akaun

MAHKAMAH MAJISTRET ROMPIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Seorang juruteknik sebuah agensi kerajaan didenda RM2,100 oleh Mahkamah Majistret Rompin di sini selepas gagal memberikan penjelasan tentang wang berjumlah RM7,600 dalam akaun bank miliknya.

Tertuduh, Mohd. Khairuddin Abdul Rahman, 44, mengaku bersalah atas empat pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Melody Woon Sze Mun hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh pada pukul 8.02 malam, 28 September 2018 di sebuah bank di Muadzam Shah di sini didapati memiliki wang berjumlah RM5,000 secara keseluruhan disyaki dengan munasabah adalah diperoleh secara ‘fraud’.

Tertuduh gagal memberikan penjelasan yang memuaskan tentang harta tersebut dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut kertas pertuduhan kedua, tertuduh pada pukul 12 tengah hari pada 22 Oktober 2018 bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Salancar telah memiliki wang berjumlah RM600 disyaki dengan munasabah adalah diperoleh secara ‘fraud’ dalam akaun tertuduh.

Bagi pertuduhan ketiga pula kira-kira pukul 3.36 petang tertuduh pada 28 Oktober 2018 di sebuah bank di Muadzam Shah didapati memiliki wang berjumlah RM1,000 disyaki dengan munasabah diperoleh secara ‘fraud’ dalam akaun banknya.

Bagi pertuduhan keempat pula, tertuduh pada pukul 7.55 petang 29 Oktober 2018 di sebuah bank di daerah Rompin didapati memiliki wang RM1,000 disyaki dengan munasabah adalah diperoleh secara ‘fraud’ dalam akaun bank tertuduh.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Aishah Amin manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Deniel Roslan.

Terdahulu dalam prosiding, Noor Aishah meminta hukuman setimpal kerana mangsa-mangsa yang terlibat dalam skim pinjaman palsu yang melibatkan akaun orang kena tuduh tidak mendapat apa-apa bayaran pampasan setakat ini.

Ahmad Deniel dalam pada itu meminta hukuman diringankan kerana tertuduh yang masih bekerja dengan pendapatan bulanan RM4,000 menanggung tiga orang anak yang masih bersekolah.

Tamat prosiding, tertuduh bertindak menghilangkan diri selepas membayar denda bagi mengelak dirakam pihak media yang menunggu di hadapan pintu tahanan Orang Kena Tuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN