JPPKK gugurkan program tidak diperlukan industri, kurang permintaan - Utusan Malaysia

JPPKK gugurkan program tidak diperlukan industri, kurang permintaan

DR. MOHD. Zahari Ismail (dua dari kiri) ketika melawat Galeri Kolej Komuniti Jelebu pada Majlis Iftar Perdana sempena Program Ihya Ramadan POLYCC di Kolej Komuniti Jelebu hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Program-program yang didapati tidak diperlukan industri dan kurang mendapat permintaan pelajar akan digugurkan di politeknik dan kolej-kolej komuniti.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Mohd. Zahari Ismail berkata, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mengambil pendekatan proaktif itu seterusnya menggantikan dengan program lebih terkini dan menepati kehendak industri.

“Bukan subjek baharu tetapi program baharu yang telah pun kita sesuaikan dengan kehendak teknologi atau kehendak industri semasa. Sebagai contoh AI (kecerdasan buatan), ia jadi satu keperluan kepada negara jadi kami telah ubah dengan memasukkan elemen AI di dalam subjek-subjek tersebut.

“Antara program yang ditutup tidak diperlukan pihak industri, sebagai contoh dulu kita ada trengkas. Begitu juga program tidak dapat sambutan daripada pelajar, dulu ada teknologi berasaskan kayu, tidak dapat tarik minat pelajar lalu kami ubah nama serta kandungan dengan lebih menarik dan telah pun berjaya, penjajaran dan penamaan baharu bagi subjek,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar Perdana sempena Program Ihya Ramadan POLYCC di Kolej Komuniti Jelebu di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, JPPKK akan meningkatkan lagi pengambilan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti Program Asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kami akan tingkatkan pengambilan dari 500 orang kepada 1,000, ini memandangkan kami menerima jumlah permohonan yang sangat tinggi dalam kalangan pelajar lepasan SPM bagi program asasi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd. Zahari berkata, latihan pengurusan dan pengendalian krisis insiden membabitkan serangan pengganas, tembakan dan tebusan pelajar seperti yang dilaksanakan di Politeknik Ungku Omar Isnin lalu, mampu memastikan pelajar sentiasa bersedia terhadap sebarang kemungkinan.

Katanya, latihan simulasi oleh agensi keselamatan berkenaan diadakan secara berkala dan sangat bagus serta praktikal buat pelajar.

“Bagi saya sangat positif, latihan ini dapat sedarkan warga institut pengajian tinggi bahawa di mana mereka berada mesti dalam keadaan siap siaga, sedia menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN