SHAH ALAM: Permohonan cuti bagi 2,500 anggota dan pegawai Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibekukan sepanjang Operasi (Op) Hari Raya Aidilfitri yang bermula pada 24 Mac ini.
Ketua Pengarah JPJ , Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi dijadualkan tamat pada 8 April depan dengan anggota terlibat akan ditempatkan di seluruh negara.
“Kita ada 2,500 anggota penguat kuasa seluruh negara akan terlibat dalam Op Aidilfitri nanti. Di peringkat JPJ, kita bekukan cuti anggota penguat kuasa untuk tempoh operasi itu kecuali dua hari cuti tersebut (Hari Raya Pertama dan Kedua Aidilfitri).
“Antara diperiksa paling banyak kenderaan perdagangan dan lima item tidak melibatkan aspek keselamatan termasuk tanda had laju akan dimasukkan dalam pemeriksaan JPJ kali ini,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan pihaknya berbincang dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengenai arahan atau larangan bagi kenderaan berat melalui jalan yang digazetkan.
“Jadi, sekiranya ada pemilik kenderaan perlu membuat pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), dia perlu membawa slip temujanji dan menunjukkan kepada pegawai sekiranya ditahan, kita tak akan ambil tindakan.
“Saya juga menasihatkan kepada pemilik kenderaan berat supaya melalui jalan alternatif,” ujarnya. – UTUSAN