Johor bakal beraya dalam banjir? - Utusan Malaysia

Johor bakal beraya dalam banjir?

SEORANG penduduk membersihkan rumahnya selepas dilanda banjir di Kampung Pasir Tebrau, Bandar Dato Onn, Johor Bahru, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Umat Islam di beberapa daerah di negeri ini mungkin menyambut ketibaan 1 Syawal dalam keadaan hujan lebat yang turut berpotensi meng­akibatkan banjir.

Ini kerana Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat yang melanda negeri ini hanya akan reda pada penghujung bulan Ramadan ini.

Bagaimanapun, jurucakap MetMalaysia memaklumkan, keadaan banjir bergantung dengan bentuk muka bumi, infrastruktur serta keluasan tadahan air dan sistem pemparitan di sesuatu kawasan penempatan penduduk.

Menurutnya, hujan lebat berterusan yang luar biasa beberapa hari kebelakangan ini berpunca daripada fasa akhir Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula sejak 5 November 2024.

“Fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 25 Mac ini dan berterusan sehingga Mei 2025. Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2024/25 yang telah bermula sejak 5 November 2024.

“Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan mene­rima tiupan angin lemah dari pelbagai arah. Keadaan ini boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh yang singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat (Johor) dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah dan Sarawak.

“Fenomena cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, statistik taburan hujan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran mencatat­kan keamatan hujan lebih 600 milimeter (mm) dalam masa satu jam sejak dua hari lalu di negeri Johor.

Sementara itu, jumlah mang­sa banjir di negeri ini mencatatkan peningkatan apabila seramai 11,776 orang daripada 3,544 buah keluarga masih ditempatkan di 97 pusat pemindahan sementara yang telah dibuka setakat pukul 4 petang semalam.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya