GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) sedang mengenal pasti lokasi pemasangan lampu solar di kawasan perkampungan masyarakat itu bagi memastikan penduduk dapat menikmati pencahayaan asas.
Menurut jurucakap JKOA, permohonan untuk projek itu telah dikemukakan dalam Rancangan Pertama (RP1) di bawah Rancangan Malaysia
Ke-13 (RMK-13).
Menurutnya, pelaksanaan projek itu dijangka akan dilaksanakan pada tahun depan.
“Kawasan yang masih belum menerima bekalan elektrik grid dalam perancangan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Alternatif yang melibatkan sistem solar hibrid.
“Ini merupakan penyelesaian sementara melalui pemasangan lampu solar dengan kerjasama agensi berkaitan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Jamil Itam, 40, memberitahu, pihaknya bersedia untuk menunjukkan lokasi cadangan pemasangan lampu solar bagi di kampung-kampung yang memerlukan.
Katanya, dia berharap agar lebih banyak lampu solar dibekalkan kepada penduduk Orang Asli di Pos Gob, Pos Belatim, Pos Balar dan Pos Simpor kerana pos pedalaman itu masih belum menerima bekalan elektrik.
“Ketika ini ancaman haiwan liar banyak berlaku di kawasan kampung Orang Asli. Cahaya lampu yang terhasil daripada lampu solar dapat membantu menerangi kawasan dan menghalau haiwan berkenaan mendekati rumah.
“Penduduk tidak mampu membeli enjin generator kerana kosnya yang mencecah ribuan ringgit. Ada penduduk yang berjimat-cermat dan menggunakan duit bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk membeli lilin atau pelita bagi menerangi rumah,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, masyarakat Orang Asli di Pos Belatim dan Pos Balar di sini memohon kemudahan lampu solar ditambah bagi menghalau haiwan liar yang sering ke kawasan penempatan dan merosakkan tanaman pada waktu malam.-UTUSAN