KUANTAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang akan melaksanakan inspektorat penguatkuasaan di bazar Ramadan dan Aidilfitri seluruh negeri ini bagi meningkatkan keberadaan serta kesedaran peniaga.
Pengarahnya, Nursafariza Ihsan berkata, sehingga kini, jabatan berkenaan sudah pun memeriksa kira-kira 40 bazar dan inisiatif tersebut akan diteruskan sehingga minggu akhir Ramadan bulan ini.
“Kita sudah pun mendapatkan senarai bazar daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu kira-kira 100 lokasi di seluruh negeri ini.
“Setakat pemeriksaan dibuat kami mendapati semua peniaga terdiri daripada orang tempatan dan muslim tiada tangkapan dibuat terhadap peniaga warga asing di bazar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bazar Ramadan Mahkota Square di sini hari ini.
Nursafariza berkata, operasi di bazar Ramadan turut melibatkan pelbagai pihak seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang mana setiap agensi akan memainkan peranan masing-masing.
“Bila kita bersama agensi lain boleh juga periksa kepatuhan peniaga terhadap peraturan ditetapkan antaranya daripada aspek kebersihan, kawalan harga yang mana bagi JIM kami lihat keberadaan warga asing sama ada yang meniaga atau membeli,” jelasnya. – UTUSAN