ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Buriram United terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama perlawanan pusingan kedua Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25.
JDT terlebih dahulu berpeluang mendapatkan gol pembukaan seawal minit pertama, namun jaringan Bergson Da Silva dibatalkan selepas semakan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati dia berada pada kedudukan ofsaid.
Buriram United turut membalas asakan bertali arus JDT, namun percubaan Guilherme Bissoli pada minit ke-7 berjaya ditepis penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre Dorronsoro.
Tuan rumah sekali lagi berpeluang mendapatkan jaringan pada minit ke-28, tetapi percubaan Afiq Fazail sekadar menggegar gawang.
Kedua-dua pasukan terus mengatur gerakan untuk menjaringkan gol, namun kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat 45 minit perlawanan separuh pertama. – UTUSAN