JERANTUT: Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dukacita apabila masih ada pihak berani mempermainkan agama Islam dan mencetuskan polemik berkaitan 3R iaitu agama, kaum serta raja demi kepentingan sendiri.
Baginda menegaskan bahawa tindakan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah boleh menggugat keharmonian negara yang sekian lama terpelihara.
“Beta amat sedih apabila masih ada yang tanpa rasa bersalah mempergunakan Islam sebagai alat untuk meraih sokongan dan kepentingan peribadi. Ini bukan perkara baharu, tetapi sehingga hari ini masih ada yang berani bermain api dengan mempolitikkan agama,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Abdul Rahman Auf bernilai RM1.8 juta di Kampung Durian Hijau sempena Majlis Berbuka Puasa di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat tidak mudah terpedaya dengan golongan yang suka mencetuskan perpecahan dengan menggunakan isu 3R, sebaliknya terus berpegang kepada nilai-nilai perpaduan dan keharmonian.
“Jangan jadi badut politik yang menggunakan agama dan perkauman untuk mengelirukan rakyat. Negara ini sudah lama hidup dalam aman damai kerana sikap toleransi dan hormat-menghormati. Jangan sesekali kita biarkan pihak tertentu merosakkan keharmonian ini,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada sekalian alam, bukannya alat untuk menyemai kebencian atau menanam perasaan syak wasangka dalam kalangan rakyat.
Baginda turut mengingatkan tentang peranan masjid sebagai pusat penyatuan ummah dan bukan medan menyebarkan fahaman sempit yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Masjid bukan tempat menabur kebencian atau menyebarkan agenda yang boleh merosakkan perpaduan. Masjid adalah tempat ibadah, pusat ilmu, dan medan untuk kita memperkukuhkan ukhuwah sesama Islam,” titah baginda.
Baginda turut menasihatkan semua pihak agar kembali kepada prinsip Rukun Negara dan tidak terjebak dengan hasutan yang boleh mengganggu-gugat kestabilan negara. – UTUSAN