GUA MUSANG: Laluan di Kilometer 78, Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke di sini yang sebelum ini ditutup akibat tiga kejadian lubang benam akan dibuka satu lorong kepada kenderaan ringan sebelum 28 Mac ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, laluan terbabit sedang dibaiki dan kemajuannya sudah mencapai 50 peratus.
Katanya, kos pembaikan untuk lubang benam dan kesan kejadian banjir lumpur yang berlaku di laluan itu dianggarkan berjumlah RM2 juta.
“Syarikat konsesi sedang membina pembetung di kawasan terbabit. Kita jangkakan satu lorong akan dibuka sebelum Hari Raya Aidilfitri ini bagi kemudahan perantau untuk pulang berhari raya.
“Bagaimanapun, semua kenderaan tidak dibenarkan melalui jalan terbabit sebelum 28 Mac ini sehingga dimaklumkan semula oleh pihak Jabatan Kerja Raya selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Projek Menaik taraf Fasiliti Pembiakan Spesis Mangsa untuk Harimau Malaya di Pusat Konservasi Hidupan Liar di sini hari ini.
Ahmad memberitahu, buat masa ini, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif Gua Musang-Sungai Koyan-Ringlet-Tapah-Ipoh- Cameron Highland.
Katanya, tiga lubang benam yang berlaku di laluan terbabit sudah ditutup dan proses pembaikan sedang giat dilakukan.
“Hanya kenderaan ringan seperti kereta dan motosikal untuk melalui laluan tersebut sementara pembaikian jalan siap sepenuhnya,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kejadian lubang benam ketiga dikesan berlaku di Kilometer 78 Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke di sini awal pagi pada 15 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian lubang benam ketiga itu berlaku pada pukul 1.30 pagi dengan jarak tujuh meter daripada lubang benam kedua.-UTUSAN