KOTA BHARU: Isu Kelantan dianaktirikan Kerajaan Persekutuan sudah tidak relevan dijadikan sebagai bahan kempen oleh kerajaan negeri setiap kali pilihan raya kerana dakwaan itu tidak benar sama sekali.
Pengerusi UMNO Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pelbagai peruntukan telah disalurkan oleh kerajaan Persekutuan dalam soal pembangunan di negeri ini.
“Janganlah kerajaan negeri menidakan peranan yang dimainkan oleh kerajaan Persekutuan. Sebagai contoh projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Perdana Menteri telah meluluskan satu pekej baharu dan setiap kali pembentangan belanjawan ada sahaja peruntukan yang disalurkan untuk Kelantan.
“Semasa pertemuan Menteri Besar (Kelantan) dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, mereka (Kerajaan Kelantan) mengemukakan pelbagai permohonan untuk Kelantan. Seingat saya pucuk pimpinan negara sentiasa memberikan kelulusan,” katanya pemberita pada program Make Colek Bersama Media Kelantan di sini malam tadi.
Ahmad Jazlan memberitahu, UMNO Kelantan menaruh kepercayaan tinggi dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Kelantan akan terus mendapat peruntukan besar daripada kerajaan Persekutuan.
“Cukup-cukuplah kelirukan rakyat dalam soal ini. UMNO dan Barisan Nasional (BN) walaupun sudah 35 tahun menjadi pembangkang di Kelantan, tidak mendapatkan tempat di hati rakyat.
“Namun dalam soal pembelaan kepada rakyat, kami tidak pernah berkompromi. Kita suarakan pandangan dalam bentuk yang berbeza walaupun tiada wakil BN Kelantan di Parlimen. Namun, kita gunakan saluran lain untuk desak, supaya kerajaan Persekutuan membela Kelantan,” ujarnya.
Ahmad Jazlan berkata, UMNO dan BN akan terus memainkan peranan bagi memastikan pembangunan di Kelantan tidak terpinggir.-UTUSAN