KUANTAN: Insiden penjaja belon yang didakwa dikasari petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur, semalam memperlihatkan ketidakpatutan dalam tindakan penguatkuasa yang seharusnya lebih berhemah dan profesional dalam menjalankan tugas.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Nik Mohd. Ridzuan Kamarudin berkata, PBT perlu menyedari bahawa peniaga kecil yang mencari rezeki halal terutama pada musim perayaan ini harus diberikan ruang dan sokongan, bukan diperlakukan dengan cara kekasaran.
“Tindakan penguatkuasa tidak seharusnya mengutamakan kekerasan, tetapi mencari penyelesaian lebih konstruktif dan adil, terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini.
“Penjaja yang berusaha mencari pendapatan dengan cara yang sah dan aman sepatutnya diberikan peluang, bukannya terus dihukum.
“Saya menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap anggota penguatkuasa yang terlibat dalam insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan keadaan di Jalan TAR kecoh malam semalam susulan perselisihan antara peniaga belon dan penguatkuasa di situ.
Berdasarkan dua rakaman video tular berdurasi lebih tiga minit di media sosial, berlaku aksi tolak menolak antara pegawai penguatkuasa PBT di situ dan sekumpulan peniaga yang cuba mempertahankan barangan jualan mereka.
Mengulas lanjut, Nik Mohd. Ridzuan berkata, pihak penguatkuasa perlu dilatih dan diperkasakan dalam aspek perundangan dan kemahiran berinteraksi dengan orang awam, supaya insiden sedemikian tidak berulang.
Menurutnya, tindakan keras dan tidak berperikemanusiaan hanya merosakkan imej pihak berkuasa dan menambah kesulitan kepada rakyat.
“Sebagai sebuah negara yang mementingkan keadilan dan kemanusiaan, kerajaan perlu memastikan bahawa setiap tindakan penguatkuasaan dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan kebijaksanaan.
“Saya berharap kejadian seperti ini tidak berulang dan tindakan yang sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang terbabit untuk memastikan penguatkuasa bertindak dengan lebih profesional dan berintegriti,” katanya. – UTUSAN