SAN FRANSISCO: Intel mengumumkan veteran industri teknologi, Lip-Bu Tan, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya, sekali gus meningkatkan saham pembuat cip komputer Amerika Syarikat (AS) yang bergelut untuk bersaing perlumbaan AI.
Tan memberitahu pasukan Intel bahawa tumpuannya adalah pada kejuruteraan, dengan menyatakan ‘bukan mudah’ untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh syarikat itu.
Beliau, yang dilahirkan di Malaysia, akan memulakan tugas sebagai CEO Intel pada 18 Mac, menurut syarikat itu.
Saham Intel melonjak lebih 10 peratus selepas dagangan pasaran.
Intel merupakan salah satu syarikat paling ikonik di Silicon Valley, tetapi nilainya diatasi oleh kuasa besar Asia TSMC dan Samsung, yang mendominasi perniagaan semikonduktor secara tempahan.
Syarikat itu juga dikejutkan dengan kemunculan Nvidia, pembuat cip grafik, sebagai penyedia cip AI terkemuka dunia.
Kekuatan Nvidia adalah dalam cip untuk menjanakan AI, diperlukan oleh syarikat teknologi yang bersaing dalam industri itu.
Pat Gelsinger dipecat sebagai CEO Intel pada Disember lalu, selepas lembaga pengarah syarikat hilang keyakinan terhadap pelan pemulihannya.
Pemergian mengejut Gelsinger berlaku hanya beberapa bulan selepas syarikat itu berjanji untuk memberhentikan lebih 15,000 pekerja dalam pelan pengurangan kos serta menghentikan atau menangguhkan pembinaan beberapa kilang pembuatan cip.
“Saya percaya di setiap lapisan diri ini kita mempunyai segala-galanya untuk menang.
“Dalam bidang kita ketinggalan di belakang persaingan, kita perlu mengambil risiko untuk menganggu dan melangkau,” kata Tan dalam satu pesanan kepada pasukannya dan berikrar Intel akan menjadi syarikat tertumpu kepada kejuruteraan.
Semasa menerajui Cadence Design Systems dari 2009 hingga 2021, Tan berjaya mengubah syarikat kitu dan menggandakan pendapatannya, menurut lembaga pengarah Intel.– AFP