TUMPAT: Seorang ibu tunggal bersama dua anak serta kakaknya yang lembam terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumahnya yang runtuh selepas dihanyutkan arus banjir hujung tahun lalu.
Ketika ini mereka tiada pilihan selain kekal tinggal di rumah berkenaan walaupun berdepan risiko bahaya kerana tidak mampu membaik pulih rumah tersebut akibat kesempitan hidup.
Noraini Nawi, 38, dari Kampung Jubakar Pantai di sini, berkata, dia tidak menolak terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah berkenaan walaupun kesan runtuhan semakin serius.
“Keadaan rumah saya semakin teruk, bukan sahaja retak di bahagian ruang tamu dan dapur namun kawasan tapak rumah semakin terhakis susulan air pasang yang berlaku setiap malam.
“Pendapatan sebagai pengasuh sebanyak RM400 sebulan hanya cukup untuk meneruskan kelangsungan hidup. Hendak baiki rumah tidak mampu kerana ia memerlukan modal yang agak besar, jika nak kumpul ambil masa lama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Noraini berkata, sudah empat bulan dia dan keluarganya ‘bertahan’ di rumah berkenaan kerana tidak mampu menyewa kediaman lain.
Katanya, melihat kepada situasi semasa, berkemungkinan besar struktur rumahnya tidak dapat bertahan lama memandangkan kawasan kediamannya adalah laluan air pasang.
“Jika musim tengkujuh melanda selepas ini, berkemungkinan besar rumah saya runtuh sepenuhnya. Saya harap kerajaan dapat membantu menyelesaikan masalah ini dengan segera,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam Malaysia (BIMB) atas nama Noraini Nawi di 03102020053180.-UTUSAN.