Hospital Kudat terima sumbangan peralatan perubatan bernilai hampir RM100,000 - Utusan Malaysia

Hospital Kudat terima sumbangan peralatan perubatan bernilai hampir RM100,000

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (berdiri, empat dari kiri) berkenan merakamkan gambar bersama bersempena Program Titian Kasih Lawatan Kerajaan Negeri Perlis Ke Sabah (Eks PerBah) 2025 di Hospital Kudat, Sabah, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan sumbangan peralatan perubatan bernilai hampir RM100,000 buat Hospital Kudat bersempena Program Titian Kasih Lawatan Kerajaan Negeri Perlis Ke Sabah (Eks PerBah) 2025.

Menerusi penyerahan itu, hospital berkenaan menerima peralatan antaranya seperti Delivery Bed (Electrical), mesin hemodialisis, syringe pump, blood warmer, kerusi derma darah dan penimbang berat bayi.

Di samping itu, Unit Perubatan Transfusi Tuanku Syed Putra di hospital itu turut ditambah baik bagi memberi keselesaan buat pesakit di sana.

Penyumbang peralatan itu terdiri daripada Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA), Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB), Mutiara Perlis Sdn Bhd, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Bank Rakyat, Pengarah Jabatan Kesihatan Perlis dan Dato’ Indera Dr Mohd Zaini Ariff.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizzudin bertitah, fasiliti kesihatan di negara ini memerlukan kepimpinan yang terbuka dengan pandangan membina bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan buat rakyat.

Titah baginda, pihak terlibat juga seharusnya mampu membuat perancangan hala tuju yang jelas dengan mengambil kira keperluan masyarakat dan organisasi.

“Selain itu, sistem pengurusan yang sistematik, efektif dan berintegriti amat diperlukan untuk menyokong kepimpinan organisasi dan memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada,” titah baginda.

Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik, fasiliti kesihatan perlu memberi penumpuan terhadap aspek pengurusan risiko yang berkesan.

“Setiap organisasi di fasiliti kesihatan perlu memastikan pengurusan risiko diberi keutamaan supaya risiko dalaman dan luaran dapat ditangani sebaik mungkin bagi mengelakkan ia memberi impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan,” titah baginda.

Di samping itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sistem komunikasi yang sistematik dan berkesan juga amat diperlukan di fasiliti kesihatan negara ini.

Titah baginda, pihak organisasi perlu menyediakan sistem maklum balas bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang diberikan bersifat dinamik dan sentiasa melakukan penambahbaikan secara berterusan.

“Kemajuan bidang perubatan yang sangat cepat dan keperluan pengubatan yang semakin kompleks bersama kekurangan sumber manusia serta peralatan menyebabkan industri kesihatan berdepan cabaran yang sangat besar,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya