PETALING JAYA– Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank melancarkan kempen ‘Senyum-Senyum Raya’ sempena Aidilfitri, dengan menekankan amalan baik dan pengurusan kewangan bijak sebagai sumber kesyukuran serta kegembiraan.
Sebagai sebahagian daripada kempen ini, HLB memperkenalkan lagu Senyum-Senyum Raya, yang dinyanyikan oleh duta HLB, Alif Satar & The Locos. Lagu ciptaan Yusuff Khan, Adam Armin, Adly Kiddy dan Ja’a itu membawa mesej positif mengenai kesyukuran dan keceriaan Aidilfitri.
Pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif HLB, Kevin Lam, berkata pihaknya komited dalam membantu pelanggan mengurus kewangan secara bertanggungjawab. Sementara itu, ketua pegawai pemasaran dan komunikasi HLB, Zalman Zainal, menyatakan bahawa lagu dan video muzik raya ini berbeza daripada kebiasaan dengan menampilkan mesej mengenai kepentingan amalan baik.
“Sambutan Aidilfitri adalah masa untuk meraikan kejayaan dan menikmati hasil usaha. Kami berharap kempen ini dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mengamalkan pengurusan kewangan yang lebih mampan,” katanya dalam kenyataan.
Alif Satar, yang telah menjadi duta HLB sejak tiga tahun lalu, turut berkongsi keterujaannya mengenai projek ini.
“Saya terus rasa ‘vibe’ positif dan ceria sewaktu pertama kali mendengar demo lagu ini. Ia bukan sekadar lagu biasa, tetapi turut membawa mesej bermakna, terutama tentang nilai kekeluargaan,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada kempen ini, HLB bekerjasama dengan foodpanda dalam program pengagihan makanan kepada 1,000 penghantar serta menaja jamuan berbuka puasa untuk lebih 300 ‘rider’ di beberapa negeri. Selain itu, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) HLB turut menyumbangkan lebih RM100,000 dalam bentuk pek makanan dan keperluan harian kepada rumah kebajikan di seluruh negara.
Lagu Senyum-Senyum Raya telah dilancarkan di semua platform muzik digital pada 14 Mac, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Hong Leong Bank sejak 17 Mac 2025.