Hati-hati 'scammer' musim perayaan - Utusan Malaysia

Hati-hati ‘scammer’ musim perayaan

WAN MOHD. Zahari Wan Busu (tengah) mengedarkan borang balik kampung kepada peniaga ketika melakukan kempen pencegahan jenayah di Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025 di Dataran Sekilau di Kuantan Pahang. Turut serta Shafieq Johari (kiri).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kegiatan penipuan secara dalam talian atau sindiket ‘scammer’ yang aktif ketika musim perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, selain kemalangan jalan raya, kes jenayah komersial seperti ‘scammer’ turut mencatatkan peningkatan setiap kali musim perayaan.

“Sindiket penipuan secara dalam talian sering memanfaatkan musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri untuk memperdaya mangsa.

“Pada waktu tertentu ‘scammer’ sangat cekap dalam melihat trend dalam kalangan pengguna. Pesanan saya sentiasa berwaspada dan jangan terpedaya,” katanya ketika ditemui selepas melakukan kempen pencegahan jenayah di Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025 di Dataran Sekilau di sini yang turut dihadiri penganjur bazar, Shafieq Johari.

WAN MOHD. Zahari Wan Busu (kanan) dan Shafieq Johari (dua dari kanan) melakukan tinjauan mesra sempena kempen pencegahan jenayah di Bazar Aidilfitri Madani Lestari dan Pintar 2025 di Dataran Sekilau di Kuantan Pahang.

Wan Mohd. Zahari turut menasihati orang ramai agar sentiasa memeriksa maklumat yang diterima dan tidak mudah percaya dengan panggilan telefon atau mesej yang mencurigakan.

Menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, beliau mengingatkan orang ramai mengisi borang balik kampung sebagai langkah mencegah jenayah ketika pulang ke bercuti ke kampung halaman.

Beliau berkata, menerusi borang pemakluman tersebut, pihaknya dapat mengenal pasti kediaman ditinggalkan bagi melaksanakan usaha pencegahan jenayah.

“Tiada kes jenayah direkodkan ketika cuti perayaan tahun lalu bagi mereka yang menghantar borang pemakluman balik kampung kepada polis.

“Setakat ini, sebanyak 200 borang pemakluman balik kampung sudah diedarkan dan kita harap orang ramai yang ingin pulang beraya ke kampung mengisi borang berkenaan,” katanya.

Wan Zahari berkata, rondaan di kediaman yang ditinggalkan akan ditingkatkan sepanjang tempoh bercuti melalui pemakluman diterima. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN