PASIR PUTEH: Ketua negeri seharusnya merujuk kenyataan rasmi dari Pejabat Perdana Menteri sebelum membuat ulasan berkait projek, bajet pembangunan atau bantuan ke Kelantan untuk mengelak kekeruhan.
Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berhubung isu dana projek tebatan banjir daripada kerajaan Pusat pasti menambah kekusutan antara kedua pihak.
“Kalau betul pun itu fitnah ia tidak merujuk sumber rasmi pejabat Perdana Menteri berkait kenyataan itu sebaliknya diambil secara rambang menerusi podcast bebas.
“Sebagai penjawat awam tertinggi di negeri ini, Menteri Besar tidak wajar menjadikan bahan podcast yang dikhilafkan sebagai bahan rasmi apatah lagi digunakan sebagai kenyataan balas umpama ditujukan kepada Perdana Menteri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Beliau mengulas coretan Mohd. Nassuruddin dalam akaun Facebooknya yang mendakwa sebaran fitnah berkait dana projek tebatan banjir daripada Kerajaan Pusat disalah guna kerajaan negeri untuk diberi kepada Ahli Parlimen sehingga projek tidak siap, adalah fitnah serta bohong.
Zawawi dalam pada itu berkata, politik disulami banyak seninya dan ada kemungkinan pencipta podcast atau audio siar itu adalah satu perancangan untuk memudahkan serangan balas kepada musuh politik.
“Apapun kerajaan negeri perlu bekerjasama mempercepat projek tersebut untuk kesejahteraan rakyat kelantan. Sebagai contoh kerajaan Negeri Kelantan bekerjasama memudahkan kaedah pengambilan tanah yang dikatakan banyak masalah geran tanah timbul dengan tiba-tiba yang merumitkan pelaksanaan projek kerajaan Persekutuan,” katanya.-UTUSAN.