Harga lelong, pembeli borong kuih raya - Utusan Malaysia

Harga lelong, pembeli borong kuih raya

ORANG ramai tidak melepaskan peluang membeli kuih raya yang dijual secara borong di Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. – MINGGUAN/ANEES RAUDHAH AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suasana di Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman sesak apabila pengunjung menyerbu gerai-gerai bagi memborong kuih raya menjelang sambutan Aidilfitri yang dijangka esok.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, para peniaga membuat lelongan pelbagai barangan terutama kuih raya untuk menghabiskan stok, selain mengelak kerugian.

Antara biskut raya yang mendapat permintaan tinggi pembeli adalah Tart Nenas, Almond London, Semperit dan Mazola.

Pegawai bank, Aslia Selamat, 40, dari Shah Alam berkata, harga kuih raya di Jalan TAR lebih murah berbanding tempat lain, menjadikannya pilihan utama pembeli.

“Biasa satu bekas RM28, tapi di sini tiga hingga empat bekas hanya RM50. Kalau kira semula, satu bekas sekitar RM16. Memang berbaloi harga di sini,” katanya semalam.

Seorang lagi pegawai bank, Fuath Abdullah, 50, dari Bukit Jalil, turut mengakui harga lebih rendah dan dia suka membeli ketika happy hour bagi mendapatkan tawaran harga menarik.

“Setakat ini saya sudah belanja dalam RM300 untuk kuih raya sahaja. Harga berbaloi, saya beli tiga balang RM50. Saya beli enam kotak,” katanya.

Seorang eksekutif akaun, Hanis Syakirah, 36, pula memilih untuk membeli-belah saat akhir bagi mendapatkan harga borong.

“Memang berbaloi, tapi kena beli banyak. Kalau beli satu, tak dapat harga murah. Sekarang ada promosi empat bekas RM100, beli lebih lagi jimat. Saya beli empat bekas dengan harga RM100,” katanya.

Hanis turut berkongsi, dia membelanjakan sekitar RM200 untuk pelbagai aneka kuih raya yang akan dibawa pulang ke kampung di Melaka.

Bagi peniaga biskut raya, Salmiah Saarani, 65, sambutan perniagaannya pada hujung Ramadan memberangsangkan.

“Pada awal-awal saya risau juga tiada sambutan kerana orang sekarang lebih selesa untuk membeli barang secara online tak perlu bersesak panas-panas. Tetapi suasana berubah menjelang hari-hari akhir Ramadan terutama malam Hari Raya,” katanya.

Seorang lagi peniaga biskut raya, Reza Al-Farouk berkata, dia yakin biskut raya jualannya akan habis sebelum Aidilfitri tiba.

“Menjelang akhir Ramadan, kami biasanya akan lelong kuih raya pada harga lima balang RM100 dan sambutan sangat menggalakkan, biasanya kuih raya ini boleh habis terjual sehingga malam raya,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya