KOTA BHARU: Ahli Parlimen pembangkang perlu memberi ruang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sehingga 10 tahun atau dua penggal di Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang ulasan berkaitan perkara tersebut.
Pengerusi UMNO Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob berkata, sebaik sahaja perkara tersebut dibawa perbahasan secara lebih terperinci boleh dilakukan oleh semua Ahli Parlimen dalam menyuarakan pandangan terhadap cadangan tersebut.
“Biar Perdana Menteri jelaskan dulu apa rasionalnya cadangan ini. Jika ada penambahbaikan berkaitan cadangan itu, maka suarakanlah (di Dewan Rakyat) dan beliau (Anwar) tahu apa yang dibuat ini untuk kepentingan rakyat.
“Jika majoriti Ahli Parlimen bersetuju, maka ia boleh dilaksanakan. Jika tidak, kita kekalkan sistem sedia ada. Perdana Menteri seorang yang terbuka, beliau sudah lama berada dalam kepimpinan negara sebelum ini,” katanya kepada pemberita semasa Program Make Colek Bersama Pengamal Media Kelantan di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan memberitahu, cadangan tersebut masih di peringkat perbincangan dan tidak perlu dijadikan isu politik yang hanya mengalihkan perhatian daripada perkara lebih penting.
Katanya, beliau berharap pembangkang memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat di empat buah negeri yang mereka tadbir berbanding membahaskan soal cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri.
“Jangan terlalu ghairah mempolitikkan sesuatu perkara sehingga mengabaikan tanggungjawab utama kepada rakyat,” ujarnya.
Ahmad Jazlan berkata, secara asanya UMNO Kelantan menyokong cadangan Perdana Menteri itu dengan syarat ia benar-benar memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara.
Media sebelum ini melaporkan,Anwar menyatakan persetujuan terhadap cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal, bagaimanapun, ia memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang hanya boleh dilakukan dengan sokongan dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat.