KOTA MARUDU: Perkembangan teknologi pada masa mini seharusnya digunakan sebagai medium untuk memperkukuh nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, dalam era digital serba canggih, teknologi bukan sekadar alat komunikasi namun turut menjadi pemangkin kepada transformasi ilmu dan pembentukan jati diri.
Titah baginda, bidang pendidikan masa kini juga semakin bergantung kepada teknologi digital yang turut membuka peluang pembelajaran tanpa batasan.
“Gunakanlah media sosial dan teknologi dengan berhemah serta penuh tanggungjawab agar ia menjadi medan yang membawa manfaat dan bukan sebaliknya.
“Kejujuran, disiplin, hormat-menghormati serta integriti adalah tunjang kepada kejayaan seseorang individu,” titah baginda sewaktu Program Titian Kasih Mega Tahun 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bengkongan, di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan mengurniakan tujuh sumbangan kepada sekolah terbabit bersempena program itu.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, perkembangan kemajuan teknologi digital dapat memudahkan transformasi ilmu sekali gus membentuk individu yang berdaya saing, berfikiran global dan mempunyai semangat patriotik tinggi.
“Manfaatkan setiap peluang yang ada untuk memperkaya pengetahuan, mengasah kemahiran, serta memberikan sumbangan yang signifikan kepada kemajuan negara,” titah baginda.
Sementara itu, Pengetua SMK Bengkongan, Aina Syafiqah Abdullah sewaktu berucap berkata, sekolah itu sentiasa berusaha menjadi pusat kecemerlangan ilmu dan sahsiah pelajar dengan merekodkan pelbagai pencapaian membanggakan.
Katanya, dalam aspek akademik, keputusan peperiksaan awam direkodkan sekolah itu turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan pada setiap tahun.
“Sekolah ini juga bukan sekadar gedung ilmu tetapi juga medan pembentukan generasi pewaris bangsa yang berjiwa patriotik dan berdaya saing,” katanya.-UTUSAN