Gunakan media sosial rancakkan jualan bazar Aidilfitri

Gunakan media sosial rancakkan jualan bazar Aidilfitri

ORANG ramai mengunjungi Bazar Aidilfitri Jalan TAR untuk membeli kelengkapan Hari Raya. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Peniaga-peniaga bazar Aidilfitri di negeri ini disarankan supaya tidak menumpukan perniagaan berkonsepkan konvensional semata-mata.

Malah, mereka juga disarankan untuk memasarkan produk jualan mereka dalam media sosial supaya tidak berdepan risiko kerugian yang teruk akibat ledakan pembelian melalui platform itu, baru-baru ini.

Menurut Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd. Najwan Halimi, ramai peniaga-peniaga mengadu tentang kesuraman perniagaan baju raya mereka kurang sambutan daripada orang ramai berbanding sebelum ini.

“Kita memang ada menerima aduan daripada peniaga yang berniaga secara konvensional dengan mengatakan perniagaan mereka kurang mendapat sambutan dan tidak menepati sasaran jualan.

“Semuanya disebabkan saingan pemasaran yang kompetitif antara perniagaan baju raya dalam talian dan di bazar Aidilfitri,” katanya kepada pemberita pada Program Ehsan Aidilfitri, hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan perniagaan bazar Aidilfitri di sekitar ibu negara suram apabila peniaga berdepan dengan pengunjung yang sekadar ‘cuci mata’ dan menikmati suasana tanpa membuat sebarang pembelian.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa bazar Aidilfitri di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), Jalan Chow Kit dan Masjid India ketika itu mendapati, suasana tetap gamat dengan lampu hiasan, muzik raya serta orang ramai yang berjalan dari satu gerai ke gerai lain.

Mohd. Najwan menjelaskan ,pihaknya peka dengan masalah tersebut dan sentiasa mencari kaedah terbaik untuk membantu peniaga memasarkan produk mereka.

“Justeru kita dari masa ke semasa membantu usahawan yang berniaga secara konvensional untuk meneroka pemasaran produk secara atas talian.

“Kita di Selangor memang menyediakan latihan-latihan sedemikian. Jadi jika ada usahawan-usahawan sebelum ini tidak didedahkan dengan perniagaan secara atas talian jadi inilah masanya untuk mereka didedahkan dengan pemasaran seumpama itu,” ujarnya.

Tambahnya lagi, bagi meningkatkan jualan, peniaga secara bersemuka turut disaran untuk menerima kaedah pembayaran tanpa tunai yang memudahkan pembeli untuk berurusan tanpa membawa wang yang banyak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya