SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Tektra Sdn. Bhd. bekerjasama untuk membangunkan penyelidikan bagi menghasilkan pengalas landasan kereta api menggunakan pokok kelapa sawit berbanding kayu balak, konkrit dan besi.
Universiti itu menerusi Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar (SMRI) memperoleh geran sebanyak RM25,000 serta geran tambahan lain daripada syarikat berkenaan bagi penyelidikan Rel Konkrit Geopolimer Berkekuatan Tinggi Menggunakan Bahan Mesra Alam.
Naib Canselor UiTM Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, penggunaan pengalas landasan hasil aktiviti pembalakan akan menyebabkan penggantungan berterusan sumber alam semulajadi yang sewajarnya dipulihara bagi merealisasi agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Sehubungan itu, Ketua Unit Pengangkutan dan Infrastruktur serta Felo Penyelidiknya, Prof. Madya Dr. Renga Rao Krishnamoorthy memperoleh geran permulaan penyelidikan industri berjumlah RM 25,000 dari Tektra Sdn.Bhd dan geran tambahan dari semasa ke semasa bagi kajian berkaitan.
“Kajian itu akan membantu pembangunan bahan binaan lestari daripada bahan seperti tandan dan batang sawit yang lebih kukuh dan mesra alam. Selain amat mudah didapati di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) UiTM dan Tektra, baru-baru ini.
Katanya, kerjasama strategik itu juga bertujuan untuk memacu inovasi, penyelidikan, serta pembangunan yang turut melibatkan kerjasama mewujudkan tenaga kerja yang lebih berdaya saing dan memenuhi permintaan industri.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Tektra Sdn Bhd, Datuk Anand Raja berkata, pihaknya yakin dengan kemampuan UiTM dalam menghasilkan graduan memenuhi keperluan sektor pembinaan dan kejuruteraan rel.-UTUSAN.