ALOR GAJAH: Seorang lelaki bersenjatakan sepucuk pistol mainan melarikan dua dulang barang kemas dari sebuah kedai di pekan Kuala Sungai Baru di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.20 petang ketika mangsa lelaki yang juga pemilik kedai berusia 49 tahun berada di dalam premis tersebut bersama dua anaknya berusia tujuh dan 10 tahun.
Katanya, mangsa memberitahu dia tidak sedar kehadiran suspek lelaki berpakaian warna hitam dan memakai topi keledar di dalam premis kerana leka bermain telefon.
“Tiba-tiba mangsa mendapati sepucuk pistol telah diacukan kepadanya menyebabkan dia bersama dua anaknya terus melarikan diri masuk ke dalam pejabat. Mangsa kemudian mendengar bunyi kaca dipecahkan sebanyak satu kali.
“Setelah keluar mangsa mendapati kaca pameran telah dipecahkan dan dua dulang berisi kira-kira 50 utas rantai tangan emas pelbagai berat telah tiada. Kerugian dianggarkan berjumlah RM250,000,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Ashari, saksi awam yang melihat kejadian memberitahu suspek melarikan diri menaiki sebuah motosikal yang diletakkan di hujung kedai.
“Pemeriksaan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka menemui tiga cap jari dan sepucuk pistol plastik berwarna hitam ditinggalkan di atas lantai. Tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang dalam premis berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/ 397 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN