PETALING JAYA: Gabungan kepemimpinan senior dan muda menjadi formula terbaik untuk memastikan DAP kekal relevan dan terus maju dalam landskap politik semasa.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok berkata, kepemimpinan yang terdiri daripada anggota senior serta berpengalaman dan pemimpin muda merupakan kombinasi paling ideal untuk kekal relevan.
“Komposisi pucuk pimpinan yang merangkumi anggota yang senior dan berpengalaman, pertengahan umur dan muda adalah kombinasi yang terbaik.
“Ini bagi memastikan kestabilan dan kemajuan parti, selain mencerminkan komposisi masyarakat kita secara keseluruhan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, pemilihan 30 Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung esok dijangka sengit, dengan penyertaan pemimpin senior dan muda termasuk mereka yang memegang jawatan menteri serta timbalan menteri.
Persaingan itu turut bertambah lebih mencabar apabila daripada 70 calon yang bertanding, majoritinya terdiri daripada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara, Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri sekali gus memperhebatkan perebutan jawatan kali ini.
Bagaimanapun, terdapat juga ahli yang mendesak agar memberi laluan kepada muka baharu untuk bertanding jawatan tertinggi dalam pemilihan CEC parti itu tidak lama lagi bagi meredakan ketegangan.
Antara yang merebut jawatan tertinggi adalah Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Selain Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, antara yang turut bertanding ialah Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin serta Timbalan Yang Dipertua (YDP) Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng.
Empat veteran DAP mengumumkan tidak akan bertanding dalam pemilihan CEC kali ini, antaranya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran; Penasihat DAP merangkap Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Bendahari DAP, Fong Kui Lun dan ahli CEC, Datuk Seri Phee Boon Poh.-UTUSAN.