FAMA bantu atasi isu lambakan tembikai - Utusan Malaysia

FAMA bantu atasi isu lambakan tembikai

MOHD. Anzara Azizan (dua dari kanan) bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth (tiga dari kanan) mengagihkan bubur lambuk sewaktu Program Sentuhan Kasih Ramadan FAMA@Bazar Ramadan Tani Dataran ABC MAIPs, Kangar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bekerjasama dengan 40 pusat operasi seluruh negara secara sinergi bagi menangani isu lambakan buah tembikai di negara ini.

Pengarahnya, Mohd. Anzara Azizan berkata, bagi tujuan itu, FAMA negeri mengambil inisiatif membantu memasarkan buah itu malah dianggarkan kira-kira tujuh tan metrik bekalan lagi akan dibawa masuk dari Terengganu dan Kelantan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, langkah yang dilaksanakan itu adalah bertujuan membantu petani memasarkan hasil buah tersebut bagi menggelakkan berlakunya isu lambakan.

“Untuk harga di Pasar Tani FAMA memang kita kekalkan pada RM2 sekilogram namun jika saiz kecil kita akan jual murah sedikit.

“Saya difahamkan pengeluaran tembikai pada kali ini agak banyak malah untuk harga dari ladang juga adalah sangat rendah,” katanya selepas Program Sentuhan Kasih Ramadan FAMA@Bazar Ramadan Tani Dataran ABC Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan harga tembikai jatuh pada Ramadan tahun ini pada kadar paling rendah dalam tempoh beberapa tahun disebabkan oleh berlakunya lambakan buah itu di beberapa negeri.

Dalam perkembangan berlainan, Anzara berkata, bekalan kelapa sekitar negeri ini juga adalah mencukupi dan tidak menunjukkan sebarang masalah menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitiri tidak lama lagi.

“Malah, santan di Pasar Tani FAMA juga masih mengekalkan harga antara RM3.30 sehingga RM3.50 untuk 100 gram manakala harga bagi sekilo pula adalah antara RM16 sehingga RM17,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Anzara berkata, nilai jualan dicatatkan menerusi dua Bazar Ramadan Tani FAMA iaitu Pasar Tani Kekal Simpang Empat dan Dataran ABC MAIPs adalah sebanyak RM1.4 juta melibatkan 120 usahawan.

Katanya, jumlah itu dijangka akan mencapai sasaran RM1.5 juta memandangkan masih berbaki beberapa hari tempoh operasi.

“Di samping itu, dalam menyemarakkan bulan Ramadan ini, FAMA negeri turut melaksanakan Program Sentuhan Kasih Ramadan@Bazar Ramadan Tani bagi menggalakkan usahawan berkongsi rezeki bersama kariah masjid dan golongan memerlukan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya